Assalamualaikum.
Entri kali ini saya ingin berkongsi maklumat serta pengalaman menghantar barang kepada semua pengedar kami dari seluruh negeri di Malaysia dengan menggunakan khidmat bas ekspres.
Kami memilih untuk menggunakan bas ekspres kerana produk tart shell yang sangat mudah pecah dan mungkin lebih menjimatkan berbanding penghantaran menggunakan khidmat courier yang lain jika melibatkan kuantiti yang banyak.
Saya akan senaraikan mengikut langkah-langkah yang ringkas:
Langkah 1: Pastikan kita tahu maklumat jadual bas seperti waktu bertolak, destinasi, syarikat bas dan juga nombor platform. Sekiranya nak buat penghantaran yang kerap, saya cadangkan ambil gambar jadual bas, jadi bila pelanggan minta untuk buat penghantaran kita dah tak perlu untuk ke stesen bas nak tengok jadual.
(PENTING: Kalau bas tak datang lepas waktu dijangka bertolak, dinasihatkan untuk tanya pada kaunter tiket sebab ada beberapa kali saya pernah alami-bas memang tak datang sebab tak ada penumpang yang beli tiket untuk waktu tersebut)
Langkah 2: bawa barang yang nak dihantar ke stesen bas dan sentiasa 'alert' dengan sebarang pengumuman yang dibuat. Pastikan anda sampai di stesen bas sekurang-kurangnya 20 minit sebelum waktu bertolak sebab selalunya bas akan terus bertolak lepas penumpang dah naik. Kadang-kadang penumpangnya sorang je.
(PENTING: Sebaiknya barang diisi dalam kotak supaya barang kita tak rosak kalau ditindih oleh beg-beg yang banyak. Dan pastikan kita tulis maklumat penerima. No telefon penerima sangatlah penting sebab kalau ada apa-apa yang berlaku pemandu bas akan telefon penerima. Lagi bagus kalau kita tuliskan sekali maklumat penghantar).
Langkah 3: Tanya pada pemandu bas ' saya nak hantar barang ke .. Boleh?'. Selalunya pemandu bas akan kata boleh. Saya tak pernah lagi ada pengalaman pemandu bas kata tak boleh. Untuk bayaran pula, pastikan kita tanya pada pemandu berapa kena bayar sebab selalunya bayaran adalah mengikut destinasi dan kuantiti kotak. Mengikut pengalaman saya, bayaran mengikut destinasi dari stesen bas KL/Selangor untuk 1 kotak : (Alor Setar-RM40), ( JB, Terengganu, Kulim, Penang-RM30), (Ipoh,Kuantan, Taiping-RM20).
(PENTING: Dinasihatkan supaya letakkan terus dalam kotak besar sekiranya melibatkan kuantiti yang banyak sebab bayaran yang dikenakan akan digandakan mengikut kotak walaupun kita guna 2 kotak yang kecil. Cth: 1 kotak besar = RM 30, 2 kotak kecil = RM60/RM50. Rugikan?)
Langkah 4: Ambil no telefon pemandu bas dan no pendaftaran bas untuk diberi pada penerima. Pastikan penerima/pelanggan hubungi pemandu bas sebelum waktu jangkaan bas tiba ke destinasi.
(PENTING: Pastikan no telefon bas yang kita ambil tu adalah betul untuk elakkan masalah timbul antara penerima dengan pemandu nanti. Sebaiknya kita 'misscall' serta-merta pemandu bas guna nombor yang diberi untuk pastikan nombor yang diberi benar-benar tepat).
Langkah 5: Selepas bas dah bertolak, terus maklumkan pada penerima untuk siap sedia dan bagi semua maklumat (no. tel pemandu, no pendaftaran bas, waktu ketibaan) kepada penerima.
(PENTING: Pada waktu bas dijangka tiba ke destinasi, sentiasa tanyakan pada penerima sekiranya barang yang dihantar telah selamat diterima atau tidak).
Semoga perkongsian saya yang serba ringkas ni dapat menjawab persoalan tentang bagaimana kami melakukan proses penghantaran barang kepada pelanggan yang jauh. Sekiranya produk yang hendak dihantar adalah mudah pecah dan berat, sangat digalakkan untuk gunakan perkhidmatan bas express ni.
Terima kasih sudi mengikuti blog ni.
Jumpa lagi di entri seterusnya ya!
P/s: Insyaallah kami akan berusaha untuk memiliki kenderaan syarikat sendiri bagi memudahkan penghantaran stok ke seluruh Malaysia tanpa menggunakan khidmat bas ekspres lagi. Insyaallah.. ;)