Wednesday, 18 November 2015

Perkembangan Bisnes Selepas 2 Tahun. (Part 1-Kisah Pindah Kedai Atas)

Assalamualaikum.

Bismillah,,

Hampir 2 tahun dah update blog ni. hari ni tergerak hati nak tulis entri baru. Semoga diberi kekuatan serta kelapangan untuk sentiasa update blog ni.

Terima kasih pada yang sudi baca dan ada yang tinggalkan komen sepanjang 2 tahun blog ni tidak dikemaskini. Dalam diam, view semakin meningkat dan ada beberapa entri menjadi top search di Google. Alhamdulillah.

Hmm.. sebenarnya banyak yang berlaku sepanjang 2 tahun ni kalau berkaitan bisnes bakeri. Entri yang terakhir, kami masih lagi beroperasi dari rumah dan masih mengambil pembantu secara part time. InsyaAllah saya ringkaskan ya.

Tahun 2014 (Pindah kedai atas)

Awal tahun 2014, dapat mesej dari kak Aisyah (owner printing company yang kami selalu berurusan). Kak Aisyah tanya, 'kedai sebelah ofis akak ni ada kosong, penyewa lama dah pindah kedai bawah. Nak sewa tak?'. Masa tu saya jawab dengan ragu-ragu lagi. Maklumlah tak ada keyakinan lagi. Takut tak mampu nak bayar sewa lah, bayar bil-bil lagi. Tapi kak Aisyah cakap, kalau tak cuba, tak tahu..

Jadi hari tu jugak kami bayar deposit kedai atas tu. Orang kata, fast action, fast result. Ye dak? Ubahsuai mana yang patut. Modal untuk ubahsuai sebenarnya agak banyak tapi disebabkan suami yang buat kerja-kerja ubahsuai tu, dapatlah diskaun.. hehe.

Jadi bermulalah perjalanan bisnes kami di kedai tingkat atas tu.

Tampal iklan kerja kosong kat tangga bawah, ada beberapa orang yang berminat. Mana yang sesuai kami terima dan sampai sekarang masih bersama.

Jom tengok gambar keadaan kedai pertama Haneesa (kedai atas).

Proses pemasangan partition dan sinki


Proses sebelum cat dengan warna baru

Dah siap ubah suai. Warna cat yang dipilih oren dan krim

Kerja-kerja buat tart shell pun dah boleh mula.

Ruang pejabat

Ada beberapa kali kelas tart kami buat kat kedai atas ni.


Masa dikedai atas ni, kami mengamalkan dasar pintu tertutup.. hehe. maksudnya apa? Maksudnya tak semua orang tahu tentang kewujudan kedai ni. Kedai ni hanya menjadi pusat operasi untuk buat tart shell. Hanya customer yang dah membuat temujanji dan dikenali saja berpeluang masuk. Pintu pun sentiasa berkunci.

Ok, tulah antara proses yang berlaku sepanjang tahun 2014. Setahun kami beroperasi di kedai atas tu. Banyak sangat kenangan. Kemudian tahun 2015 kami diberi rezeki untuk pindah ke kedai bawah pula. Yang ni nanti saya cerita di entri yang lain ya. :)

Saturday, 15 February 2014

Mulakan Bisnes Pastri Dengan PEMBANTU

Bismillah.

Assalamualaikum.

Saya yakin kebanyakan pembaca blog ini merupakan peniaga yang menjalankan operasi dari rumah. Tak kisah melibatkan sebarang perniagaan sekali pun. Saya juga bermula dari rumah. Memandangkan kita beroperasi dari rumah, ramai yang fikir kita perlu buat semuanya seorang diri. Sebagai contoh dalam bisnes pastri yang beroperasi dari rumah atau lebih kerap dipanggil homemade, para peniaga lebih gemar basuh alat-alat sendiri, bancuh dan bentuk tepung sendiri, bungkus sendiri, jual sendiri, buat marketing sendiri, semuanya nak dibuat seorang diri. Jika kita melakukan semuanya seorang diri, semestinya tiada peningkatan dalam penghasilan produk dari segi kuantiti mahu pun kualiti.

Sebagai contoh, pada peringkat permulaan bisnes (ketika itu memang saya lakukannya seorang diri),
pengeluaran maksimum produk yang saya mampu hasilkan (sekiranya saya bekerja 10am-10pm tanpa cuti) adalah 10 balang/sehari. Sekiranya saya bekerja dari 10am-10pm tanpa cuti selama seminggu, maksimum pengeluaran yang dapat saya hasilkan cuma 70 balang/seminggu. 

Apa akan jadi jika permintaan mencecah 100 balang/minggu? Saya terpaksa tidak tidur selama beberapa hari dan bekerja 24jam tanpa henti (memang pernah saya lakukan ketika raya tahun lepas) untuk pastikan pengeluaran selari dengan permintaan. Apa pula akan jadi sekiranya permintaan melebihi 200 balang/minggu? Mustahil saya dapat siapkan tempahan sebanyak itu dalam tempoh semiggu. Jadi saya akan terpaksa menolak permintaan mereka yang ingin menempah tart shell kerana saya tak dapat menampung permintaan kuantiti yang melebihi 100 balang/seminggu. Semestinya agak mustahil untuk kembangkan bisnes dan saya pernah terpaksa kurangkan membuat iklan/promosi sebab saya khuatir tak dapat nak menampung permintaan. Ini semua tidak patut berlaku sekiranya kita nak kembangkan bisnes.

Jadi saya terpaksa terima hakikat yang saya memang memerlukan bantuan! Saya tak boleh nak buat seorang diri sekiranya saya memang bersungguh nak kembangkan bisnes ni. Selepas lebih kurang 2 bulan saya buat kerja seorang diri, saya terpaksa iklankan juga jawatan kosong sebagai pembantu saya. Saya hanya mulakan dengan iklan di personal FB sahaja. Ada seorang kenalan yang sanggup jadi pembantu tapi hanya sehari seminggu.

Perkara biasa yang akan terjadi pada kita yang biasa buat kerja sendir ialah sukar mempercayai orang. Dalam fikiran waktu tu 'boleh ke dia buat cantik mcm aku buat?' 'Boleh ke dia buat laju mcm aku buat?' 'Boleh ke dia jaga oven mcm aku buat?'. Sangat terseksa jiwa ketika itu sebab tengok orang lain buat kerja yang kita selalu buat sendiri dan selalunya kita buat mengikut spesifikasi kita sendiri. Tapi saya sentiasa ingatkan diri saya sendiri yang ' SAYA PERLUKAN BANTUAN!'.

Bermula dari situ saya terpaksa beri kepercaya pada orang lain. Sebab saya tahu bisnes saya tak akan berkembang jika saya tak minta bantuan orang lain.

Kemudian saya giatkan lagi banyak iklan dan promosi untuk dapatkan lebih banyak permintaan sebab saya dah semakin yakin yang saya dah ada bantuan untuk hasilkan produk sebanyak mana kuantiti yang diperlukan. Alhamdulillah kini kami memerlukan minimum 4-5 orang pembantu dalam sehari untuk memastikan pengeluaran selari dengan permintaan.

Sampai disini sahaja untuk entri kali ni. Insyaallah untuk entri seterusnya saya akan kongikan tips-tips untuk membuat iklan, pengagihan tugas dan pengiraan kos gaji pekerja.

Terima kasih sudi ikuti blog ni. Jumpa, dientri seterusnya ya ;)


                


Wednesday, 22 January 2014

Proses Penghantaran Barang Menggunakan Khidmat Bas Express

Bismillah..

Assalamualaikum.

Entri kali ini saya ingin berkongsi maklumat serta pengalaman menghantar barang kepada semua pengedar kami dari seluruh negeri di Malaysia dengan menggunakan khidmat bas ekspres.
Kami memilih untuk menggunakan bas ekspres kerana produk tart shell yang sangat mudah pecah dan mungkin lebih menjimatkan berbanding penghantaran menggunakan khidmat courier yang lain jika melibatkan kuantiti yang banyak.

Saya akan senaraikan mengikut langkah-langkah yang ringkas:

Langkah 1: Pastikan kita tahu maklumat jadual bas seperti waktu bertolak, destinasi, syarikat bas dan juga nombor platform. Sekiranya nak buat penghantaran yang kerap, saya cadangkan ambil gambar jadual bas, jadi bila pelanggan minta untuk buat penghantaran kita dah tak perlu untuk ke stesen bas nak tengok jadual.

(PENTING: Kalau bas tak datang lepas waktu dijangka bertolak, dinasihatkan untuk tanya pada kaunter tiket sebab ada beberapa kali saya pernah alami-bas memang tak datang sebab tak ada penumpang yang beli tiket untuk waktu tersebut)


Langkah 2: bawa barang yang nak dihantar ke stesen bas dan sentiasa 'alert' dengan sebarang pengumuman yang dibuat.  Pastikan anda sampai di stesen bas sekurang-kurangnya 20 minit sebelum waktu bertolak sebab selalunya bas akan terus bertolak lepas penumpang dah naik. Kadang-kadang penumpangnya sorang je.

(PENTING: Sebaiknya barang diisi dalam kotak supaya barang kita tak rosak kalau ditindih oleh beg-beg yang banyak. Dan pastikan kita tulis maklumat penerima. No telefon penerima sangatlah penting sebab kalau ada apa-apa yang berlaku pemandu bas akan telefon penerima. Lagi bagus kalau kita tuliskan sekali maklumat penghantar).

Langkah 3: Tanya pada pemandu bas ' saya nak hantar barang ke .. Boleh?'. Selalunya pemandu bas akan kata boleh. Saya tak pernah lagi ada pengalaman pemandu bas kata tak boleh. Untuk bayaran pula, pastikan kita tanya pada pemandu berapa kena bayar sebab selalunya bayaran adalah mengikut destinasi dan kuantiti kotak. Mengikut pengalaman saya, bayaran mengikut destinasi dari stesen bas KL/Selangor untuk 1 kotak : (Alor Setar-RM40), ( JB, Terengganu, Kulim, Penang-RM30), (Ipoh,Kuantan, Taiping-RM20).

(PENTING: Dinasihatkan supaya letakkan terus dalam kotak besar sekiranya melibatkan kuantiti yang banyak sebab bayaran yang dikenakan akan digandakan mengikut kotak walaupun kita guna 2 kotak yang kecil. Cth: 1 kotak besar = RM 30, 2 kotak kecil = RM60/RM50. Rugikan?)

Langkah 4: Ambil no telefon pemandu bas dan no pendaftaran bas untuk diberi pada penerima. Pastikan penerima/pelanggan hubungi pemandu bas sebelum waktu jangkaan bas tiba ke destinasi.

(PENTING: Pastikan no telefon bas yang kita ambil tu adalah betul untuk elakkan masalah timbul antara penerima dengan pemandu nanti. Sebaiknya kita 'misscall' serta-merta pemandu bas guna nombor yang diberi untuk pastikan nombor yang diberi benar-benar tepat).

Langkah 5: Selepas bas dah bertolak, terus maklumkan pada penerima untuk siap sedia dan bagi semua maklumat (no. tel pemandu, no pendaftaran bas, waktu ketibaan) kepada penerima.

(PENTING: Pada waktu bas dijangka tiba ke destinasi, sentiasa tanyakan pada penerima sekiranya barang yang dihantar telah selamat diterima atau tidak).


Semoga perkongsian saya yang serba ringkas ni dapat menjawab persoalan tentang bagaimana kami melakukan proses penghantaran barang kepada pelanggan yang jauh. Sekiranya produk yang hendak dihantar adalah mudah pecah dan berat, sangat digalakkan untuk gunakan perkhidmatan bas express ni.

Terima kasih sudi mengikuti blog ni. 
Jumpa lagi di entri seterusnya ya!

P/s: Insyaallah kami akan berusaha untuk memiliki kenderaan syarikat sendiri bagi memudahkan penghantaran stok ke seluruh Malaysia tanpa menggunakan khidmat bas ekspres lagi. Insyaallah.. ;)


Thursday, 2 January 2014

Testimoni Kelas Asas Blog & Fanpage

Bismillah.

Assalamualaikum.

Jujurnya sebelum ini memang saya pernah mempunyai blog sendiri tapi tiada isi kandungan yang berkualiti kerana blog yang dihasilkan dulu sekadar untuk cuba-cuba sahaja. Dulu saya sangat kagum dengan rakan-rakan yang pandai menulis dan menjadikan blog mereka cantik dengan gadget-gadget yang menarik tambahan lagi sekarang telah lahir ramai 'selebriti' blog yang popular seperti Fatin Liyana dan Hanis Zalikha. Memang sebelum ini pernah bercita-cita untuk jadi blogger popular seperti mereka tapi apakan daya tahap kepakaran dalam penulisan kreatif sangatlah lemah.

Saya juga mempunyai masalah yang sangat berat iaitu sukar untuk berkongsi kisah hidup kepada orang lain, inikan pula perlu buat karangan mengenai kisah hidup dan disiarkan diinternet untuk tatapan satu dunia serta mengharapkan lebih ramai yang akan baca kisah hidup kita.

Pada 10/10/2013 bermulalah perjalanan hidup saya sebagai penulis blog secara serius serta mempunyai hala tuju yang jelas. Pada hari tersebut saya telah mendaftarkan diri sebagai pelajar kepada cikgu dalam penulisan blog iaitu Pn. Zaila Mohamad. Kelas yang diadakan sangat flexible, tiada waktu-waktu tertentu yang ditetapkan. Kak Zaila juga merupakan cikgu yang sangat peramah dan beliau akan menjawab kesemua soalan dengan penuh komitmen. 

Pada permulaan kelas memang terlalu banyak soalan yang saya tanyakan kepada kak Zaila. Beliau juga pasti akan menjawab sehingga saya betul-betul faham. Masalah utama yang saya hadapi semestinya cara penulisan yang betul. Untuk entri yang pertama memang sangat banyak kesalahan yang saya lakukan. Kata nama diri yang sesuai pun diajar oleh kak Zaila. Cara penceritaan serta isi kandungan juga penting. Cara-cara untuk masukkan gadget-gadget utama dan sesuai dengan blog kita juga diajar. Kini saya tahu bahawa blog yang cantik tidak semestinya akan menarik minat pembaca untuk ikuti blog kita tetapi isi kandungan yang menarik dan mudah difahami itu yang penting.



Setelah mendaftar dalam kelas blog ini, secara automatiknya saya berada dalam Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR). Pada mulanya saya tidak faham apa kaitannya ABDR dengan blog. Setelah berkomunikasi dan berkenalan dengan beberapa orang ahli ABDR baru saya faham bahawa kebanyakan penulis blog yang berada dalam ABDR adalah suri rumah yang sesetengahnya pernah bekerja serta memegang jawatan tinggi dan mengambil keputusan untuk bekerja dari rumah. Mereka menggunakan pelbagai medium untuk memasarkan hasil kerja mereka dan salah satu caranya adalah melalui penulisan blog. 

Di Akademi Bekerja Dari Rumah, setiap ahli akan memberi sokongan antara satu sama lain kerana tidak semua wanita yang bekerja dirumah akan dipandang tinggi oleh orang diluar sana. Diharap melalui perkongsian perjalanan hidup bekerja dari rumah melalui blog ini akan membantu dan memberi garis panduan kepada para wanita yang ingin mengambil keputusan untuk bekerja dari rumah sahaja.


Melalui pengalaman saya yang bekerja dari rumah ini, blog merupakan medium yang sangat-sangat berkesan dari segi pemasaran dan yang paling penting salah satu cara untuk saya memperkenalkan diri kepada pelanggan dan bakal pelanggan secara tidak langsung. Secara realitinya, saya tidak mampu untuk bersua muka dan bercerita kisah perjalanan bisnes bakeri saya pada setiap pelanggan. Dengan cara menulis blog ini, para pembaca akan dapat membaca perjalanan bisnes saya dengan lebih jujur dan terperinci.

Kepada rakan-rakan yang berminat untuk belajar menulis blog secara serius dan mungkin ada cita-cita untuk bekerja dari rumah boleh sertai kami di Akademi Bekerja Dari Rumah dan menjadi salah seorang pelajar kelas asas blog bersama cikgu Pn. Zaila Mohamad. Jangan segan-segan untuk hubungi Pn. Zaila melalui FB beliau (FB: Zaila Mohamad).


Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca dan mengikuti blog ini. ;)

Saturday, 23 November 2013

Mulakan Bisnes Bakeri TANPA MODAL

Bismillah.

Assalamualaikum.

Selalu tak dengar orang bercakap 'macam mana nak buat bisnes, aku tak ada modal'. Hmm, modal apa yang dimaksudkan ye? Modal biasanya bermaksud duit la kan? Berapa duit yang diperlukan baru boleh start bisnes bakeri? RM 1k? RM 20k? RM 100k? 

Ada ke duit dalam akaun kita sebanyak tu? Kalau ada pun, duit sebanyak tu kita simpan semata-mata nak mulakan bisnes bakeri? Dalam angan-angan nak buka kedai bakeri dan nak hias cantik-cantik warna pink lagi. Nasihat saya, tak perlu. Mulakan bisnes bakeri anda tanpa modal. Gunakan apa yang ada saja. Mulakan dari rumah! 

Kebanyakan orang, sanggup tunggu bertahun-tahun untuk kumpul modal sebelum mulakan bisnes dan akhirnya modal kemana, bisnes kemana. Jika dah terdetik difikiran anda untuk mulakan bisnes bakeri ni, sila mulakan SEKARANG!

Tak benarlah kalau saya kata mula-mula bisnes tak guna duit langsung. Beli tepung, beli gula pun dah kena keluar duitkan. Tapi saya yakin duit yang dikeluarkan tu pasti akan dipulang balik lepas pelanggan beli tart shell ni. Kemudian, saya pusing balik modal yang diperolehi dari hasil jualan untuk beli bahan-bahan dalam kuantiti yang lebih banyak. Kalau ada untung lebih, jangan pula laiai belanja benda-benda yang tak diperlukan. Gunakan untung yang terlebih sedikit tu untuk beli alat-alat yang lebih efisen kegunaannya bagi memudahkan kita meningkatkan penghasilan produk. Bila produk bertambah, keuntungan juga bertambah. Insyaallah alat-alat canggih yang kita dapat beli pun bertambah.

Contohnya sebelum ni saya hanya gunakan hand mixer biasa jenama Pensonic. Letihnya toksah cakaplah sebab sekali buat mixer tu hanya dapat tampung 1 adunan. Pastu kene pegang lagi. Ada untung lebih saya beli mixer 7L jenama Berjaya. Sangat mudah! Sekali buat boleh masuk 4 adunan terus. Sekarang saya masih dalam usaha kumpul modal untuk beli mixer yang lebih besar. Insyaallah.

Alat penekap tart shell pun dulu saya hanya pinjam dari kak Nora, cikgu yang ajar saya buat tart shell ni. Sempatla mengharungi tempahan yang banyak masa Hari Raya Puasa yang lepas guna penekap yang dipinjam tu. Ketika pinjam tu pun kenalah amanah sebab bukan murah alat yang dipinjam tu. Saya serahkan sekali sedikit deposit sebelum pinjam alat tu dari kak Nora. Tq kak :) Sekarang Alhamdullillah kami dah memiliki 2 alat penekap tu dan masih kumpul modal untuk beli penekap yang auto pula atau mungkin upah designer untuk design mesin yang bersesuaian. Insyaallah masih dalam perancangan.

Saya akui, mula-mula buat bisnes kecil-kecilan ni memang kene banyak sabar. Malahan sekarang pun saya masih dalam kategori kecil-kecilan. Jadi masih banyak mesin-mesin yang lebih canggih perlu dibeli. Untung yang kita dapat tu tak boleh la nak digunakan untuk benda yang sepatutnya. Biarlah orang nampak kita tak mampu nak beli rumah besar, kereta mahal, melancong luar negara, yang penting kita tau apa yang kita buat dan hala tuju bisnes kita.

Jadi, kepada sesiapa yang berniat untuk buat loan atau kumpul modal yang banyak untuk mulakan bisnes, melalui pengalaman saya yang tak seberapa ni, saya nasihatkan batalkan saja niat tu. Mari kita sama-sama bina bisnes TANPA MODAL tetapi dengan ILMU.

Jumpa di entri seterusnya ya!

Terima kasih sudi mengikuti blog ni :)


Mulakan Bisnes Pastri Dengan FOKUS (Part 1)

Bismillah..

Assalamualaikum.. 

Ramai juga yang bertanya, macam mana nak mulakan bisnes pastri? Insyaallah saya akan beri panduan sebanyak yang termampu. Untuk pengetahuan semua saya baru 6 bulan saja melibatkan diri dalam perniagaan bakeri ni secara serius. Sebelum ni memang tak pernah terlintas langsung untuk belajar apatah lagi menjual tart shell ni. Tapi minat dalam bidang bakeri ni memang ada. Niat sebenar memang nak belajar buat kek dengan dekorasi yang cantik-cantik. Macam dalam rancangan Astro Cake Boss tu. 

Berbalik pada tajuk entri ni, bagi saya elemen yang paling penting sebelum memulakan bisnes pastri terutama kita yang tak pernah ada ilmu dalam bidang pastri dan juga bisnes adalah FOKUS. Fokus ni melibatkan banyak aspek:

1) FOKUS Produk

Ramai yang menyedari minat dalam bidang bakeri ni memang ada dalam diri. Macam saya dulu juga. Bila ditanya nak jual apa? Dalam fikiran dah ada macam-macam benda kita nak buat walhal kepakaran dalam satu produk pun belum ada lagi. 

Contohnya, dalam otak dah ada angan-angan nak jual kek coklat, pastu nak jual kek red velvet, pastu nak jual kek cheese leleh lagi, pastu nak jual durian crepe, belum cerita lagi biskut raya nak jual time raya nanti. Senang cakap nak jual semua jenis pastri yang ada di muka bumi ni. Sedang kan kita belum dalam kategori pakar lagi dalam mana-mana produk. Semua cilok resepi sini sikit resepi sana sikit. Mr Google la yang jadi mangsa.

Pada pandangan saya dan juga panduan yang saya perolehi selepas hadir beberapa seminar, fokus pada produk adalah sangat penting. Biar semua orang tahu yang kita pakar dalam sesuatu produk. 

Contohnya, saya sekarang ni hanya fokus pada tart shell sahaja walau ramai yang bertanya tak ada produk lain ke dari Haneesa La Shoppe? Memang saya akan jawab tak ada sebab nak fokus pada tart shell sahaja. Walau pun kami hanya fokus pada satu produk saja, hakikatnya terlalu banyak aspek yang perlu diperbaiki. Dari segi pemasaran, dari segi kualiti, dari segi kuantiti, dan bermacam-macam lagi kaedah yang perlu difikirkan untuk meningkatkan kadar jualan & menghebahkan pada dunia tentang produk yang telah kita yakin berkualiti ni.

Contoh lain yang boleh dilihat sebagai contoh terbaik ialah idola saya dalam bidang pastri, Anis Moist Chocolate Cake. Mereka hanya fokus dalam memperbaiki mutu dan pemasaran kek coklat SAHAJA!

Sekiranya anda memang minat untuk pasarkan pelbagai produk pastri sebenarnya tiada masalah, cuma perlu fokus pada satu produk dahulu, kemudian produk lain hanya sebagai produk sampingan sahaja. Biar semua kenal anda pakar dalam satu produk dahulu, kemudian baru boleh disusuli dengan produ-produk lain.

Bagi mereka yang tak tahu produk mana yang perlu difokuskan, anda hanya perlu lapangkan dada dan hadir ke kelas-kelas pastri, bergaul dengan lebih ramai pakar pastri, kaji potensi sesuatu produk, Insyaallah anda akan temui produk yang sesuai untuk anda fokus. Perlu ingat, kadang kala benda yang kita minat belum tentu menjadi rezeki kita. Kalau tak, mungkin saya dah jadi pembuat kek yang cantik-cantik tu. Kini saya hanya pembuat tart shell. Syukur Alhamdulillah.

Rasanya sampai disini dulu entri kali ni. Dapat kongsikan satu aspek saja tentang fokus. Banyak aspek lagi yang perlu fokus. Insyaallah next entry saya akan sambung lagi ya. 

Terima kasih kerana sudi mengikuti blog ni :)



Monday, 11 November 2013

Sistem pengedar tart shell

Bismillah..

Assalamualaikum..

Ramai yang bertanya macam mana nak dapatkan tart shell kami. Saya akan menjawab 'untuk pertanyaan harga & pembelian, boleh hubungi para pengedar kami'. Untuk pengetahuan semua, kami memang menggunakan sistem pengedar dalam urusan jual beli. 

Sebenarnya sebelum ini saya pernah menjual produk secara runcit, iaitu jual terus kepada pelanggan. Akibatnya urusan perniagaan menjadi tidak lancar kerana saya perlu melayan pelanggan dan dalam masa yg sama perlu menghasilkan produk untuk dijual pada pelanggan. Sekiranya tiada produk dihasilkan maka tiada urusan jual beli berlaku. Begitu juga sebaliknya, jika tiada layanan pelanggan diberikan maka tiada juga urusan jual beli berlaku.

Setelah mengharungi tempahan yg Alhamdulillah tidak kurang hebatnya ketika Hari Raya Puasa yg lepas, terdetik difikiran saya untuk menggunakan sistem pengedar ini. Syukur Alhamdulillah setelah menggunakan sistem pengedar ini, urusan dengan pelanggan dan penghasilan produk menjadi selari. Kini saya hanya perlu berurusan dengan para pengedar sahaja. 

Hubungan dengan pelanggan iaitu pengedar menjadi lebih rapat mewujudkan suasana hubungan perniagaan yang lebih mesra. Para pengedar juga tidak segan untuk berborak dan berkongsi secara personal sehingga boleh dianggap sebagai kawan walaupun jarang berjumpa, malah ada yang belum pernah berjumpa. Penghasilan produk juga menjadi lebih teratur. Semua pengedar-pengedar tahu bila untuk membuat tempahan dan bila produk akan dihantar kepada mereka.

Alhamdulillah pada masa sekarang kami telah mempunyai beberapa orang pengedar di seluruh Malaysia. Insyaallah kami akan melantik stokis-stokis pula lepas ini. Nantikan ya! Insyaallah.. ;-)

Jadi, saya ulang semula ayat diatas: 'UNTUK PERTANYAAN HARGA & PEMBELIAN, BOLEH HUBUNGI PARA PENGEDAR KAMI'. ;-) 

Senarai pengedar adalah seperti berikut: